Pembagian Sholat Fardlu

Maret 5, 2007 linggar

JENIS-JENIS SOLAT

  • Solat terbahagi secara umumnya kepada dua jenis sahaja iaitu solat fardhu dan solat sunat. Solat Juma‘at juga merupakan salah satu solat fardhu tetapi ia disyari‘atkan bagi menggantikan solat Zuhur kepada golongan tertentu. Solat fardhu juga kadangkala dilakukan semasa bermusafir dan cara-caranya lebih berbentuk fleksibel. Sementara solat sunat nafilah mempunyai banyak jenis dan bentuknya.

SOLAT FARDHU

Bentuk Solat Fardhu

  • Solat fardhu mempunyai beberapa bentuk ketika hendak melakukannya, iaitu:

    1. Solat Berjama‘ah.

    2. Solat Juma‘at.

    3. Solat Musafir.

    4. Solat Khauf.


SEMBAHYANG BERJAMA‘AH

  • Sembahyang berjama‘ah bermaksud menggabungkan sembahyang ma’mum dengan sembahyang imam. Jama‘ah terhasil dengan bilangan dua orang atau lebih.
  • Hukumnya adalah fardhu kifayah kecuali sembahyang Juma‘at. Oleh itu, ia mesti dilakukan oleh sekumpulan penduduk dalam sesebuah tempat atau kawasan.
  • Namun demikian, terdapat beberapa keuzuran yang dibenarkan syara‘ untuk tidak menghadirkan diri ke masjid bagi mendirikan sembahyang berjama‘ah seperti berikut:

1. Keuzuran umum seperti hujan, angin yang kuat pada waktu malam, jalan terlalu becak dan berlumpur.

2. Keuzuran khusus seperti sakit, keadaan yang terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezaliman ke atas diri dan hartanya, ketika menahan diri daripada berlaku hadath (kecil) disebabkan kencing dan buang air besar. Begitu juga seseorang yang makan makanan yang berbau busuk, atau berpakaian dengan pakaian yang kotor dan berbau yang boleh mengganggu orang lain.


Syarat Imam

1. Imam bukanlah seorang ummi yang tidak betul bacaan al-fatihah, cacat dari segi sebutan, ketiadaan syaddah dan sebagainya, sedangkan ma’mum lebih baik daripadanya.

2. Imam bukan dari kalangan wanita jika ma’mumnya lelaki.

3. Imam yang hendak diikuti itu bukanlah sebagai pengikut kepada imam lain.

Cara mengikut Imam

1. Ma’mum hendaklah tidak berada di hadapan imam. Makruh sekiranya ma’mum berdiri selari dengan imam, tetapi yang sunatnya ialah di belakang sedikit dari imam. Ukuran yang diambilkira sama ada berada di hadapan atau di belakang ialah tumit kaki.

2. Ma’mum hendaklah mengikut imam dengan tidak mendahului takbiratul ihram imam. Hukumnya makruh jika dilakukan serentak dengan imam pada selain takbiratul ihram.

3. Ma’mum hendaklah mengikuti perbuatan imam dalam semua perpindahan dari satu rukun kepada satu rukun yang berbentuk perbuatan (rukun fi‘liyy) dengan keadaan perbuatan ma’mum hendaklah terkemudian daripada imam, melainkan jika ada keuzuran seperti bacaannya lambat, maka dia boleh tertinggal daripada mengikut imam dengan tiga rukun yang panjang.

4. Ma’mum hendaklah mengetahui perpindahan imam dari satu rukun ke satu rukun sama ada dengan melihatnya atau melihat sesetengah daripada saf atau mendengar suara imam atau muballigh (penyampai takbir imam).

5. Jarak tempat antara ma’mum dan imam itu hendaklah tidak terlalu jauh jika kedua-duanya sembahyang di luar masjid. Jika sembahyang didirikan dalam masjid, maka ikutan ma’mum itu sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya.

6. Ma’mum hendaklah berniat berjama‘ah atau mengikut imam ketika takbiratul ihram.

SEMBAHYANG JUMA‘AT

  • Sembahyang Juma‘at telah difardhukan di Makkah sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam juga menegaskan dengan sabdanya: “Sembahyang Juma‘at adalah tanggungjawab yang wajib ke atas setiap orang Islam.”

Syarat Wajib Juma‘at

1. Mukallaf, iaitu seorang yang beragama Islam, baligh dan berakal.

2. Kemerdekaan yang sempurna. Hamba tidak diwajibkan Juma`at.

3. Lelaki, ia tidak diwajibkan ke atas wanita kerana mereka sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga, seterusnya menimbulkan kesulitan kepada mereka.

4. Sihat tubuh badan, tidak sakit yang memudaratkan.

5. Bermukim di tempat Juma`at didirikan.


Syarat Sah Juma‘at

1. Sembahyang itu hendaklah didirikan dalam sempadan kawasan bangunan dan binaan sama ada di pekan atau di kampung yang penduduknya bertaraf mastautin.

2. Bilangan ahli Juma‘at yang cukup syarat tidak kurang daripada empat puluh orang yang cukup syarat.

3. Bilangan ahli Juma‘at berkekalan dari awal khutbah hingga tamatnya sembahyang.

4. Didirikan dalam waktu Zuhur. Jika waktu Zuhur telah sempit, tidak cukup untuk didirikan sembahyang Juma‘at, maka mereka wajib mendirikan sembahyang Zuhur.

5. Tidak berbilang-bilang Juma‘at pada satu tempat selama ia boleh dibuat dalam satu jama‘ah kecuali penduduk terlalu ramai sedangkan tempat adalah sempit.


Fardhu Juma‘at
Ia terdiri daripada dua fardhu, iaitu khutbah dan sembahyang dua raka‘at. Sembahyang Juma‘at hendaklah didirikan dengan dua raka‘at secara berjama‘ah selepas khutbah. Untuk mendapatkan jama‘ah dalam sembahyang Juma‘at, hanya disyaratkan mendapatkan satu raka‘at yang penuh. Sekiranya ia diperolehi, maka sembahyang Juma‘at adalah sah dan jika tidak, ia wajib ditukar kepada Zuhur.


Rukun Khutbah

1. Memuji Allah subhanahu wata‘ala dengan menggunakan mana-mana lafaz sekalipun terdapat di dalam isi kandungan ayat yang dibaca.

2. Bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mana-mana perkataan yang memberi maknanya.

3. Berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dengan menggunakan apa jua lafaz.

4. Membaca satu ayat daripada Al-Qur’an yang dapat memberi kefahaman dan mempunyai makna yang jelas pada salah satu daripada dua khutbah.

5. Berdoa untuk orang-orang yang beriman pada khutbah yang kedua.


Syarat Khutbah

1. Khatib berdiri ketika berkhutbah sekiranya ia berkuasa untuk berbuat demikian. Kedua-dua khutbah tersebut hendaklah dipisahkan dengan duduk.

2. Tidak dikemudiankan daripada sembahyang.

3. Khatib berada dalam keadaan suci daripada hadath kecil dan besar, serta najis yang tidak dimaafkan sama ada pada pakaian, badan atau tempatnya dan berada dalam keadaan menutup ‘aurat.

4. Rukun-rukun khutbah dibaca dalam bahasa Arab biarpun tidak difahami oleh para jama‘ah.

5. Berturut-turut di antara rukun-rukun khutbah dan juga antara khutbah pertama dengan khutbah kedua serta antara khutbah kedua dengan sembahyang.

6. Rukun kedua-dua khutbah tersebut hendaklah didengari oleh empat puluh orang yang mencukupi syarat-syarat sah sembahyang Juma‘at.


SEMBAHYANG ORANG YANG BERMUSAFIR

  • Bermusafir adalah suatu yang berbentuk azab. Disebabkan musafir, manusia kehilangan perasaan-perasaan tenang dan kerehatan. Oleh itu, Allah subhanahu wata‘ala telah memberikan kepada mereka dua bentuk keringanan dalam sembahyang seperti berikut:

1. Memendekkan bilangan raka‘at yang dinamakan qasar.

2. Menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu dinamakan jama‘.

  • Perjalanan yang membolehkan sembahyang jama‘ dan qasar disyaratkan :

1. Jarak jauh perjalanan hendaklah sampai dua marhalah iaitu lebih kurang 81 km atau lebih.

2. Perjalanan hendaklah menuju ke arah tertentu dan diketahui bahawa tempat yang dimaksudkan itu jauh.

3. Perjalanan itu bukan dengan tujuan maksiat. Bermusafir dengan tujuan berniaga arak, mengambil riba atau menyamun adalah maksiat maka tidak diberi kelonggaran.


SEMBAHYANG QASAR

  • Ia adalah sembahyang fardhu dengan memendekkan setiap sembahyang empat raka‘at iaitu Zuhur, ‘Asar dan ‘Isya’ menjadi dua raka‘at dalam perjalanan yang diharuskan.
  • Syarat-syarat sah sembahyang qasar seperti berikut :

    1. Sembahyang itu telah masuk waktu ketika bermusafir dan hendaklah ditunaikan ketika musafir.

    2. Orang yang bermusafir hendaklah telah sampai ke sempadan bandar atau pekan yang hendak ditinggalkan atau melepasi bangunan-bangunan di pekan tersebut.

    3. Orang bermusafir tidak berniat untuk tinggal di tempat tujunya selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan pulang.

    4. Orang yang musafir tidak menjadi ma’mum kepada orang yang bermukim, maka sembahyang wajib ditunaikan dengan bilangan raka‘at yang sempurna.

SEMBAHYANG JAMA’

  • Sembahyang jama‘ bermaksud menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu.
  • Sembahyang jama‘ terbahagi kepada dua bahagian:

1. Jama‘ taqdim iaitu menunaikan sembahyang kedua dalam waktu yang pertama. Syarat-syarat jama‘ taqdim adalah seperti berikut :

a) Ditunaikan secara tertib antara keduanya, iaitu dengan menunaikan sembahyang yang pertama terlebih dahulu kemudian diikuti dengan sembahyang yang kedua.

b) Hendaklah berniat jama‘ untuk menunaikan sembahyang kedua ke dalam waktu yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama ketika takbiratul ihram.

c) Ditunaikan secara berturut-turut (muwalat) iaitu sembahyang yang kedua ditunaikan segera sebaik sahaja selesai daripada salam sembahyang pertama tanpa dipisahkan oleh sesuatu pun sama ada zikir, sembahyang sunat atau lain-lain.

d) Perjalanan berterusan sehingga dilakukan sembahyang yang kedua.

e) Sembahyang yang pertama hendaklah diyakini bahawa didirikan dengan sah walaupun sembahyang itu mesti ditunaikan semula kerana mungkin ketiadaan air untuk berwudhu’.

2. Jama‘ ta’khir iaitu melewatkan sembahyang pertama ke dalam waktu kedua. Sembahyang secara jama‘ ta’khir tidak disyaratkan tertib antara kedua sembahyang bahkan boleh memulakannya dengan mana-mana sembahyang yang dikehendaki. Juga tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut) tetapi ia disunatkan. Syarat-syaratnya ialah :

a) Berniat hendak melewatkan sembahyang pertama ketika dalam waktunya dalam jarak masa yang boleh ditunaikan sembahyang tersebut.

b) Orang yang bermusafir itu hendaklah terus berada dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua sembahyang selesai didirikan.

SEMBAHYANG KHAWF (KETIKA TAKUT)

  • Sembahyang khawf ialah sembahyang fardhu yang didirikan ketika berlaku peperangan. Ia istimewa daripada sembahyang lain disebabkan beberapa rukhsah (kemudahan) yang diberikan terutamanya ketika berjama‘ah.
  • Sembahyang khawf mempunyai dua keadaan berdasarkan keadaan peperangan yang berlaku, iaitu:

    1. Keadaan berjaga-jaga dan peperangan belum tercetus.

    2. Ketika peperangan tercetus, saf-saf bertaburan dan suasana membimbangkan.

KEADAAN BERJAGA-JAGA DAN PEPERANGAN BELUM TERCETUS

  • Bagi keadaan ini terdapat dua cara yang berbeza dengan sebab perbezaan kedudukan musuh:

1. Ketika musuh berada dan terkawal pada arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Imam hendaklah menyusun tentera kepada dua saf, empat atau lebih dan bersembahyang bersama-sama dengan mereka. Apabila imam sujud, saf yang berada di belakang imam hendaklah turut sujud bersama dengan imam. Manakala yang baki hendaklah menjaga rakan-rakan mereka yang sedang sujud daripada gerakan musuh. Apabila imam dan saf yang sujud bersamanya bangun, maka saf yang berdiri tadi hendaklah sujud sehingga mereka bersama dengan imam ketika duduk tasyahhud. Selepas itu semuanya memberi salam bersama dengan imam. Inilah cara sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah dalam peperangan Asfan.

2. Ketika musuh bertebaran, bukan berada di arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Cara sembahyang yang disunatkan dalam keadaan tersebut ialah seperti berikut:

a) Tentera yang bersembahyang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama berdiri ke arah musuh kerana mengawal dan menjaga orang-orang Islam dan kumpulan kedua pergi menunaikan sembahyang secara berjama‘ah bersama-sama imam.

b) Imam bersembahyang bersama dengan kumpulan kedua hingga selesai satu raka‘at. Apabila imam berdiri pada raka‘at kedua, para ma’mum hendaklah berniat mufaraqah (bercerai daripada imam) dan mereka menyempurnakan raka‘at kedua secara sendiri. Kemudian mereka pergi ke tempat kumpulan pertama yang sedang berjaga.

c) Kumpulan pertama yang berjaga datang pula mengikut imam dan imam semestinya berdiri lama pada raka‘at kedua sekadar kumpulan pertama sempat berdiri bersamanya. Imam bersembahyang dengan mereka pada raka‘at kedua yang merupakan raka‘at pertama jika dinisbahkan kepada ma’mum. Apabila imam duduk untuk tasyahhud, mereka bangun menyempurnakan raka‘at kedua sehingga mereka duduk dalam keadaan imam masih membaca tasyahhud. Kemudian imam memberi salam bersama-sama mereka.

KETIKA PEPERANGAN TERCETUS, SAF-SAF BERTABURAN DAN SUASANA MEMBIMBANGKAN.

  • Apabila berlaku keadaan tersebut, maka tidak ada cara tertentu untuk ditunaikan sembahyang. Bahkan setiap orang menunaikan sembahyang mengikut keadaan yang mengizinkan mereka mendirikannya sama ada dalam keadaan berdiri, menunggang, berjalan kaki atau berhenti, sama ada menghadap qiblat atau tidak. Ruku‘ dan sujud dilakukan dengan isyarat atau dengan menggerakkan kepalanya sebagai isyarat kepada ruku‘ dan sujud dengan menjadikan sujud lebih rendah daripada ruku‘.

Entry Filed under: fiQih

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to comments via RSS Feed

Halaman

Kategori

Kalender

Maret 2007
S S R K J S M
    Jul »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Most Recent Posts

 
Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: