Bersuci (at-taharah)

Maret 5, 2007 linggar

At-taharah atau bersuci ertinya membersihkan diri, pakaian dan tempat dari segala hadas dan najis. Untuk bersuci dari hadas haruslah melakukan wuduk, mandi wajib atau tayammum. Untuk bersuci dari najis haruslah menghilangkan kotoran yang ada di badan, pakaian dan tempat yang bersangkutan.Perintah bersuci ini tersurat pada ayat 222 dari surat Al-Baqarah yang ertinya:

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri.”

Jenis-Jenis Air

Air boleh dibahagikan kepada 5 jenis iaitu:
1. Air Mutlak
2. Air Musta’mal
3. Air Muqaiyad
4. Air Mutanajjis
5. Air Musyammas

Air Mutlak
Suci lagi menyucikan, boleh diminum dan boleh dibuat bersuci; boleh digunakan untuk berwuduk, bersuci najis, bersuci daripada hadas kecil dan besar, membasuh pakaian dan lain-lain. Air mutlak ialah air bersih yang keluar dari bumi dan belum terpakai, contohnya: air laut, air paip, air sungai, air perigi, air hujan dan sebagainya.

Air Musta’mal
Suci tetapi tidak menyucikan, boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci. Air yang asalnya air mutlak digunakan untuk berwuduk, kemudian air itu dikumpul semula dan tidak mencukupi sukatan dua qullah (216 liter), maka air ini dikatakan air musta’mal. Air musta’mal tidak boleh digunakan untuk berwuduk, bersuci najis, bersuci daripada hadas kecil dan besar, namun boleh digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk yang digunakan untuk perkara-perkara yang tidak najis.

Air Muqaiyad
Suci tetapi tidak menyucikan, boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci, Air muqaiyad terdapat di dalamnya campuran atau pewarna. Contoh: air sirap, air kopi, air gula, air garam.

Air Mutanajjis
Tidak suci, tidak boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci. Mutanajjis ialah air yang kurang daripada dua qullah dan terkena najis atau jatuh najis ke dalamnya.

Air Musyammas
Suci dan menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Musyammas ialah air yang disimpan di dalam bekas logam dan terdedah kepada panas matahari. Air yang sedang panas itu makruh hukumnya digunakan untuk berwuduk dan bersuci daripada hadas.

Jenis-Jenis Najis

Terdapat tiga jenis najis iaitu:
1. Najis mughallazah (najis berat)
2. Najis mukhaffafah (najis ringan)
3. Najis mutawassitah (najis sederhana)

Najis Mughallazah
Najis mughallazah ialah najis berat. Najis ini terdiri daripada anjing dan babi serta benda-benda yang terjadi daripadanya.

Cara menyucikan najis mughallazah:
1. Bersihkan bahagian yang terkena najis.
2. Basuh sebanyak tujuh kali. Sekali daripadanya mesti menggunakan tanah bersih yang dicampur dengan air.
3. Gunakan air mutlak untuk membuat basuhan seterusnya (sebanyak enam kali) sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Najis Mukhaffafah
Najis mukhaffafah ialah najis ringan. Najis mukhaffafah ialah air kencing kanak-kanak lelaki berusia di bawah dua tahun yang tidak makan atau minum sesuatu yang lain selain susu ibu.

Cara menyucikan najis mukhaffafah:
1. Basuh bahagian yang terkena najis dan lap.
2. Percikkan air di tempat yang terkena najis.
3. Lap dengan kain bersih sehingga kering.

Najis Mutawassitah
Najis mutawassitah ialah najis sederhana, iaitu segala sesuatu yang keluar dari dubur/qubul manusia atau binatang, cecair yang memabukkan, bangkai (kecuali bangkai manusia, ikan dan belalang), serta susu, tulang dan bulu dari haiwan yang haram dimakan. Najis mutawassitah terbahagi dua iaitu: “Najis Ainiyah” yaitu najis yang berwujud (tampak dan dapat dilihat), misalnya kotoran manusia atau binatang; dan “Najis Hukmiyah” iaitu najis yang tidak berwujud (tidak tampak dan tidak terlihat), seperti air kencing yang kering.

Cara menyucikan najis mutawassitah:
1. Basuh dengan menggunakan air bersih hingga hilang warna, bau dan rasa najis tersebut.
2. Basuh sehingga tiga kali dengan air mutlak.

nota:
Selain tiga jenis najis di atas, masih terdapat satu najis lagi iaitu “Najis Ma’fu” (najis yang dima’afkan), contohnya nanah atau darah yang cuma sedikit, debu atau air kotor yang memercik sedikit dan sulit dihindarkan.

Wudhu

Wudhu adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur’an. Perintah wajib wudhu ini turun bersama dengan perintah wajib solat. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki.”(Al-Maidah : 6). Sabda Rasulullah saw: “Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwudhu.” (H.R. Abu Daud).

Syarat Wudhu ada lima:
1. Islam
2. Baligh
3. Tidak berhadas besar
4. Memakai air yang mutlak (suci dan menyucikan)
5. Tidak ada yang menghalangi kulit

Rukun Wuduk ada enam:
1. Niat dengan bacaan:

“Aku niat berwudhu untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah.”
2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
3. Membasuh dua tangan sampai ke siku.
4. Mengusap sebahagian kepala dengan air.
5. Membasuh dua kaki sampai mata kaki (buku lali).
6. Tertib (berturutan).

Sunat Wuduk ada 12:
1. Diawali dengan membaca Bismillah dalam hati.
2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
3. Berkumur.
4. Menggosok gigi (bersiwak).
5. Membersihkan hidung dengan air.
6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
7. Membasuh kedua cuping telinga.
8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
9. Tidak berbicara.
10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
11. Membasuh anggota wudhu sampai tiga kali.
12. Membaca doa sesudah berwudhu:
“Saya bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan saya bersaksi bahwa Muhamad adalah hamba dan pesuruhNya. Wahai Allah jadikanlah saya termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah saya termasuk orang-orang yang suci serta jadikanlah saya termasuk golongan hamba-hambaMu yang soleh.”

Perkara yang dapat membatalkan Wudhu ada lima:
1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).

nota: Menurut mazhab Syafi’i, hukum wudhu batal secara mutlak (tanpa syarat) bila tersentuh bukan muhrim termasuk dengan isteri/suami sendiri (“bukan muhrim” ertinya tidak haram dinikahi). Menurut Mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan membatalkan wuduk lelaki jika dengan tujuan `talazzuz’ (berlazat-lazat), ataupun merasai keghairahan ketika bersentuhan. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa menyentuh kulit perempuan tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan.

Tayammum

Tayammum ertinya menghilangkan hadas dengan menggunakan debu suci, kerana ketiadaan air atau sakit yang menghalang penggunaan air. Cara tayammum ialah dengan menyapukan debu yang suci ke muka dan dua tangan sampai ke siku dan disertai dengan niat.

Syarat-syarat tayammum:
1. Sudah masuk waktu solat
2. Tidak ada air dan sudah diusahakan mencarinya
3. Sakit, sehingga jika memakai air takut penyakitnya bertambah parah.
4. Sedang dalam perjalanan. Firman Allah SWT : “… Jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau sehabis buang air atau menyentuh wanita lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah/debu yang baik (bersih dan suci). Sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu.”(Q.S. Al-Maidah : 6)
5. Memakai tanah yang suci dan berdebu.

Rukun Tayammum ada 4:
1. Niat
2. Menyapu muka dengan tanah
3. Menyapu kedua tangan sampai siku dengan tanah
4. Tertib atau berturutan

Sunat Tayammum ada 2:
1. Mengawali dengan bacaan Bismillah dalam hati.
2. Mendahulukan anggota badan sebelah kanan.

nota:
Hal-hal yang membatalkan tayammum sama dengan yang membatalkan wudhu.

Mandi Wajib & Sunat

Mandi wajib adalah mandi untuk bersuci bagi seseorang yang menanggung hadas besar atau sedang junub. Firman Allah SWT.

“Apabila kamu junub, maka mandilah/bersuci.” (Al-Maidah: 6)Perkara yang mewajibkan mandi:
1. Bersetubuh, sama ada mengeluarkan mani atau tidak.
2. Keluar air mani, sama ada sengaja atau tidak.
3. Meninggal dunia, kecuali mati syahid.
4. Habis masa haid.
5. Nifas, iaitu mengeluarkan darah setelah melahirkan anak.

Rukun Mandi ada 3:
1. Niat.
2. Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.
3. Membasuh seluruh tubuh.

Sunat Mandi ialah:
* Diawali membaca bismillah dalam hati
* Menggosok seluruh tubuh dengan tangan
* Mendahulukan bahagian yang kanan dari yang kiri
* Berwuduk sebelum mandi
* Tertib atau berturut-turut.

Selain mandi wajib, ada juga mandi-mandi sunat, iaitu:

  • Mandi bagi orang yang akan melaksanakan solat Jumaat
    Mandi pada hari raya Aidil-Fitri dan Aidil-Adha
    Mandi bagi orang yang baru sembuh dari gila
    Mandi menjelang Ihram haji dan Umrah
    Mandi sehabis memandikan mayat
    Mandi bagi orang kafir yang baru masuk Islam

Entry Filed under: fiQih

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to comments via RSS Feed

Laman

Kategori

Kalender

Maret 2007
S S R K J S M
    Jul »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Most Recent Posts

 
%d blogger menyukai ini: