Posts filed under: ‘Munakahat‘




Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini (muhrim)

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:

i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. – Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu “.
( Surah An-Nisaa’ – Ayat 22 )

 4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan”. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.

5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh.
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun”. ( Riwayat DaruQutni )


iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

” Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja”. ( Riwayat Muslim )


iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun”.

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.

6. Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah ) :

i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

” Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati “. ( Surah An – Nisaa’ – Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

” Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 22 )

7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :

i. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ” Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu “. ( Surah An- Nisaa’ – Ayat 23 )
ii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapadan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar “. ( Riwayat At -Tirmidzi )

Rujukan : Kitab Mathla’al Badrain – Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.

1 komentar Maret 5, 2007

Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.

b) Jazam. ( penyakit kusta )

c) Barash. ( penyakit sopak )

d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.

e) ‘Unnah ( mati pucuk )

4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.

b) Jazam. (penyakit kusta)

c) Barash (penyakit sopak)

d) Rutaqa’ (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)

e) Qurana’ (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. ‘Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.

Add a comment Maret 5, 2007

Kufu Dalam Pernikahan

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur’an yang bermaksud :

“Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana “.

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa “.

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

  • Selamat daripada ‘aib seperti gila atau penyakit kulit.
  • Merdeka bukan hamba .
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • ‘Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Add a comment Maret 5, 2007

Pernikahan

1. Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

” Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku “. ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

    “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja”. ( Surah An – Nisaa’ – Ayat 3 )

  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

    “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng”. ( Riwayat Muslim )

  • Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.
  • 4. Hukum berkahwin itu ada empat :

    1. Wajib – Orang yang cukup belanja dan tidak dapat menahan nafsunya.
    2. Sunat – Orang yang cukup belanja dan ingin berkahwin.
    3. Makruh – Orang yang cukup belanja tetapi tiada keinginan berkahwin.
    4. Haram – Orang yang yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab.

    5. Rukun-rukun nikah :

    1. Lelaki yang bakal menjadi suami.
    2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
    3. Wali yang adil
    4. Dua orang saksi yang adil
    5. Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)

    6. Syarat-syarat lelaki bakal suami :

    1. Beragama Islam
    2. Tidak berihram haji atau umrah
    3. Lelaki tertentu
    4. Belum mempunyai empat isteri
    5. Dengan kerelaan diri sendiri bukan paksaan
    6. Seorang lelaki (bukan khunsa musykil)

    7. Syarat-syarat perempuan bakal isteri :

    1. Beragama Islam.
    2. Perempuan yang tertentu.
    3. Bukan Mahram kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya
    4. Bukan isteri orang dan tidak di dalam eddah orang lain.
    5. Tidak berihram haji atau umrah.

    8. Syarat-syarat wali :

    1. Beragama Islam.
    2. Seorang lelaki.
    3. Baligh.
    4. Dengan kerelaan sendiri bukan paksaan.
    5. Tidak berihram haji atau umrah.
    6. Orang yang adil ( tidak fasiq ).
    7. Seorang yang sempurna akalnya.

    9. Syarat-syarat saksi :

    1. Bilangannya tidak kurang daripada dua orang.
    2. Beragama Islam.
    3. Berakal
    4. Baligh
    5. Lelaki.
    6. Sejahtera pancaindera (boleh melihat, mendengar, bertutur). 7. Memahami isi-isi kandungan lafaz ijab dan qabul.
    8. Orang yang adil (tidak fasiq)

    10. Sighah Ijab:

    1. Sighah ijab hendaklah digunakan lafaz nikah atau dengan terjemahan daripada dua lafaz itu dalam apa jua bahasa.

    2. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali itu sendiri atau wakilnya.

    Contohnya : “Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Fatimah bte Abdullah / berwakilkan wali bapanya kepadaku dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai “.

    Sighah Qabul : Iaitu upacara penerimaan daripada lelaki sendiri ataupun wakilnya setelah selesai sighah ijab dengan tidak diselangi oleh apa-apa perkataan asing atau masa yang panjang.

    Contohnya : “Aku terima nikah Fatimah bte Abdullah dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai ” .

    11. Tanggungjawab suami kepada isteri :

    1. Pemberian maskahwin.
    2. Pemberian nafkah.
    3. Berkelakuan baik.
    4. Memberi bimbingan.
    5. Menjaga kehormatan isteri.
    6. Memberi layanan zahir dan batin.
    7. Melakukan keadilan sekiranya berpoligami.

    12. Tanggungjawab isteri kepada suami :

    1. Wajib taat kepada suaminya.
    2. Wajib tinggal di rumah yang dietapkan oleh suaminya.
    3. Wajib menjaga kehormatan dirinya.
    4. Wajib menjaga rumahtangganya.
    5. Tidak menolak panggilan suami jika dipanggil ke tempat tidur.

    13. Tanggungjawab bersama suami dan isteri :

    1. Halal pergaulan sebagai suami-isteri.
    2. Suci benih keturunan.
    3. Wujud hak pusaka-mempusakai di antara keduanya.
    4. Sah taraf anak (keturunan) kepada suami.
    5. Kewajipan keduanya berlaku dalam pergaulan.
    6. Bermesyuarat dan berbincang di dalam hal ehwal rumahtangga.
    7. Berlaku adil di dalam segala bentuk kehidupan.

Add a comment Maret 5, 2007

Laman

Kategori

Tautan

Meta

Kalender

Maret 2017
S S R K J S M
« Jul    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Posts by Month

Posts by Category